Follow Us @theanabeautyandwellness

@theanabeautyandwellness

Monday, April 2, 2018

END STAGE RENAL DISEASE (ESRD)

Sebelum ni saya pernah ceritakan tentang pakcik saya yang sedang menerima rawatan akibat penyakit yang dihidapinya iaitu ESRD. ESRD adalah singkatan kepada End Stage Renal Disease. Kalau dalam Bahasa Melayu mungkin kita boleh terjemahkan kepada penyakit ginjal/buah pinggang peringkat akhir. Kedengaran macam pelik juga kan bila diterjemah ni. Hihi...

Apa sebenarnya penyakit ESRD ni? Ia merupakan keadaan di mana buah pinggang telah kehilangan fungsinya atau buah pinggang telah berhenti untuk berfungsi dengan baik untuk memenuhi kehidupan harian anda. Seperti yang kita tahu, buah pinggang fungsinya adalah untuk menapis bahan buangan dan air berlebihan dari dalam darah melalui air kencing.

STRUKTUR GINJAL
Jika anda didiagnos dengan ESRD, ini bermakna buah pinggang anda hanya berfungsi kurang dari 10 peratus dari fungsi biasanya. Ini bermakana buah pinggang anda mungkin hampir tidak berfungsi ataupun tidak berfungsi sama sekali. Penyakit buah pinggang biasanya berlaku secara berperingkat. Seseorang tidak akan sampai ke peringkat akhir sehinggalah sebelum mencapai 10 hingga 20 tahun selepas diagnosa. ESRD juga boleh berkembang secara perlahan-lahan.

Penyebab ESRD
Biasanya penyakit berkaitan buah pinggang akan menyerang nefron, iaitu unit kecil di dalam buah pinggang yang melakukan kerja penapisan. Penapisan darah tidak berlaku dengan baik dan ini akan membawa kepada ESRD. Penyebab biasa dan utama kepada ESRD ialah penyakit diabetes dan juga darah tinggi. Jika anda menghidap diabetes, badan anda tidak dapat memecahkan glukosa (gula) dengan sempurna. Ini menyebabkan tahap glukosa di dalam darah menjadi tinggi. Tahap glukosa yang tinggi boleh merosakan nefron. Bagi penghidap darah tinggi pula, tekanan yang meningkat akan menekan salur-salur kecil dalam buah pinggang di mana ia akan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang. Kerosakan ini menghalang salur-salur darah untuk melakukan kerja penapisan.

NEFRON

Siapa Yang Berisiko Untuk Mendapat ESRD?
Dua kumpulan utama yang berisiko untuk menhidap ESRD ialah mereka yang mempunyai penyakit diabetes dan juga darah tinggi. Risiko untuk mendapat ESRD juga akan meningkat sekiranya anda mempunyai apa-apa jenis penyakit yang berkaitan dengan buah pinggang seperti :
  • penyakit buah pinggang polisistik
  • sindrom Alport
  • interstitial nephritis
  • pyelonephritis
  • sistemik lupus (penyakit autoimun)

Apakah Simptom-Simptom ESRD?
Penghidap ESRD akan mengalami pelbagai simptom. Antaranya ialah :
  • pengurangan dalam jumlah air kencing
  • sukar untuk membuang air kecil
  • keletihan
  • sakit kepala
  • kehilangan berat badan
  • hilang selera makan
  • loya dan muntah-muntah
  • kulit kering dan gatal
  • perubahan warna kulit
  • sakit tulang
  • kekeliruan dan sukar untuk fokus
Simptom lain adalah termasuk :
  • mudah lebam
  • pendarahan hidung yang kerap
  • kaki dan tangan kebas
  • nafas berbau
  • haus yang berlebihan
  • kitaran haid berhenti
  • masalah tidur seperti apnea dan masalah kaki resah
  • mati pucuk
  • bengkak dan edema terutamanya pada kaki dan tangan

Komplikasi ESRD
Antara komplikasi yang mungkin berlaku akibat ESRD ialah seperti berikut :
  • jangkitan kulit akibat kulit kering dan gatal
  • hepatitis B
  • hepatitis C
  • kegagalan fungsi hati
  • masalah jantung dan salur darah
  • pengumpulan cecair sekitar paru-paru
  • peningkatan risiko jangkitan
  • malnutrisi
  • kerosakan saraf
  • kesakitan sendi, tulang dan otot
  • anemia
  • pendarahan usus dan perut
  • kehilangan fungsi otak
  • sawan
Dalam kebanyakan kes, ESRD adalah penyakit yang mustahil untuk dicegah. Namun begitu, penghidap diabetes dan darah tinggi boleh berusaha untuk mengawal tahap glukosa dan juga tekanan darah. Berjumpalah dengan doktor sekiranya ada simptom-simptom ESRD. Pengesanan dan rawatan awal boleh melambatkan atau mencegah perkembangan ESRD.

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua. Penyakit buah pinggang nampak macam remeh dan tak merbahaya seperti kanser kan. Tapi tanpa disedari ia adalah penyakit berperingkat yang juga boleh mengancam nyawa. Anugerah Tuhan, jagalah dengan sebaiknya.

No comments:

Post a Comment