Anemia adalah suatu keadaan yang selalu
dialami oleh kebanyakan ibu yang sedang hamil. Anemia merupakan satu penyakit di
mana darah tidak mempunyai sel darah merah yang cukup sihat untuk membawa
oksigen kepada tisu-tisu badan dan bayi anda.
Semasa hamil, tubuh anda akan menghasilkan
lebih banyak darah untuk menyokong pertumbuhan bayi. Sekiranya badan anda tidak
mempunyai nutrien dan zat besi yang mencukupi, tubuh tidak akan dapat
menghasilkan sel darah merah yang diperlukan untuk menghasilkan darah baru.
Adalah normal bagi ibu yang mempunyai anemia
ringan ketika mengandung. Anemia akan menyebabkan anda merasa letih dan lemah.
Anemia yang agak teruk jika tidak dirawat boleh meningkatkan risiko komplikasi
yang serius seperti kelahiran pramatang.
Terdapat beberapa jenis anemia yang biasa
dialami oleh ibu ketika hamil iaitu :
(1) Anemia yang disebabkan oleh kekurangan
zat besi
Anemia
jenis ini berlaku apabila tubuh anda tidak mempunyai zat besi yang mencukupi
untuk menghasilkan jumlah hemoglobin yang diperlukan. Hemoglobin adalah sejenis
protein yang terkandung dalam sel darah merah. Fungsinya adalah untuk membawa
oksigen dari paru-paru ke seluruh bahagian badan. Jadi apabila anda kekurangan
zat besi, darah tidak akan dapat membawa oksigen yang secukupnya kepada tisu
badan anda. Anemia jenis ini adalah yang paling kerap dialami oleh ibu-ibu
hamil.
(2) Anemia yang disebabkan oleh kekurangan
asid folik
Rasanya dah ramai para ibu yang tahu tentang
kepentingan asid folik ketika hamil bukan? Kekurangan asid folik akan
menyebabkan kecacatan tiub neural pada bayi dan juga kelahiran pramatang. Asid
folik adalah salah satu jenis vitamin B. Tubuh memerlukan asid folik untuk
menghasilkan sel-sel baru, termasuk sel darah merah yang sihat. Semasa hamil, anda
memerlukan asid folik tambahan. Kebanyakan wanita hamil tidak mendapat asid
folik yang mencukupi dari diet harian mereka. Apabila tubuh kekurangan asid
folik, jadi ia tidak akan dapat menghasilkan sel darah merah yang mencukupi
untuk mengangkut oksigen ke tisu badan.
(3) Kekurangan vitamin B12
Tubuh juga memerlukan vitamin B12 untuk
membentuk sel darah merah yang sihat. Sekiranya anda tidak mendapat vitamin B12
yang mencukupi dari pemakanan anda, maka tubuh tidak akan dapat menghasilkan
sel darah merah yang cukup. Wanita hamil yang tidak memakan daging, ayam,
produk tenusu dan telur mempunyai risiko yang lebih besar untuk mengalami
anemia jenis ini. Sama seperti kekurangan asid folik, anda juga berisiko
melahirkan bayi pramatang dan kecacatan pada tiub neural.
Semua wanita hamil mempunyai risiko mengalami
anemia. Ini kerana semasa hamil, anda memerlukan lebih banyak zat besi dan asid
folik daripada masa biasa. Risiko untuk anda mengalami anemia adalah lebih
tinggi sekiranya anda :
(1) hamil bayi kembar
(2)
dua kehamilan dalam tempoh yang agak rapat
(3)
kerap muntah dengan banyak akibat loya
(4)
hamil dalam usia yang sangat muda
(5)
tidak memakan makanan yang kaya dengan zat besi
(6)
mengidap anemia sebelum mengandung
Antara
simptom anemia yang mungkin akan anda alami ketika hamil adalah :
(1)
kulit, bibir dan kuku kelihatan pucat
(2)
mudah rasa penat dan lemah
(3)
pening
(4)
sesak nafas
(5)
degupan jantung laju
(6)
masalah dalam memberikan tumpuan
Pada peringkat awal anemia, simptom-simptom
ini tidak akan begitu ketara kerana bagi kebanyakan wanita, simptom-simptom
tersebut juga adalah sesuatu yang biasa terjadi ketika hamil walaupun tidak
mengidap anemia. Jadi adalah lebih baik untuk anda mendapatkan ujian darah
secara rutin pada peringkat awal kehamilan.
Anemia yang disebabkan oleh kekurangan zat
besi, jika tidak diatasi akan meningkatkan risiko anda untuk melahirkan bayi
pramatang atau bayi lahir dengan berat yang sangat rendah. Anda juga akan
berisiko untuk menjalani pemindahan darah jika anda kehilangan darah yang
banyak semasa proses kelahiran. Selain itu, risiko untuk anda mengalami
kemurungan pospartum juga akan meningkat. Risikonya bukan sahaja berlaku pada
anda, malah juga pada bayi anda. Bayi anda juga kemungkinan besar akan mengidap
anemia sama seperti anda di samping pertumbuhan yang agak lewat dan tidak
normal seperti kanak-kanak lain.
Manakala anemia yang disebabkan oleh
kekurangan asid folik dan vitamin B12 juga boleh meningkatkan risiko kelahiran
bayi pramatang dan masalah kecacatan yang serius seperti kecacatan pada tulang
belakang dan otak.
Jadi, jangan pandang remeh sekiranya anda
mengalami anemia sebelum atau ketika hamil kerana ia akan meningkatkan lebih
banyak risiko untuk anda dan bayi.
No comments:
Post a Comment