Follow Us @theanabeautyandwellness

@theanabeautyandwellness

Monday, January 9, 2017

KERUSI KESELAMATAN BAYI : GUNAKAN DENGAN BIJAK!

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan satu lagi insiden kemalangan yang menyentap hati seluruh rakyat Malaysia. Selepas kehilangan pesawat MH370 dan kemalangan pesawat MH17 yang juga pernah menyentap jiwa kita semua dan mungkin masih terasa hingga kini lebih-lebih lagi di kalangan keluarga dan kawan-kawan mangsa.

Di saat orang lain berseronok menikmati cuti hujung minggu, berita kemalangan tersebut cukup menyayat hati seluruh rakyat Malaysia. Kemalangan berlaku di antara 2 buah kereta Myvi dengan sebuah Mitsubishi Pajero Sport di KM6.2 Lebuhraya DUKE pada jam 1.05 pagi. Menurut saksi, insiden kemalangan mungkin disebabkan oleh 2 kereta Myvi tersebut yang sedang berlumba. 3 nyawa hilang sekelip mata!

Hati makin tersentap apabila mendengarkan rintihan dan tangisan 2 anak mangsa yang kini menjadi yatim piatu dalam usia yang sangat muda dan masih memerlukan kedua ibu bapa. Sedih, pilu. Itu antara luahan rakyat yang mengikuti perkembangan kes tersebut. Hati siapa tak pilu kan?

Saya sendiri pun tak sanggup nak tengok video, baca dan dengar berita tu berulang kali. Apatah lagi melihat wajah anak kecil yang sayu ditinggalkan orang tersayang. Berat sungguh dugaan buat anak kecil tu. Dengan usia mereka sekecil itu, rasa tak layak untuk terima dugaan hebat tersebut. Tapi apa daya kita, bila ketentuannya sudah tiba. Tiada siapa yang berhak dan mampu untuk menghalangnya.


Sama-sama kita doakan agar anak-anak itu tabah dan kuat dengan dugaan yang menimpa. Sesungguhnya kita adalah insan yang lemah. Semoga di hati mereka tidak tersimpan sebarang dendam atas kejadian yang berlaku walaupun terpalit kisah hitam di hati dalam usia yang begitu muda. Semoga adik berdua tabah melaluinya. Membesarlah menjadi insan yang berguna, agar arwah mama, papa dan baby tenang di sana.

Tidak sanggup sebenarnya nak coretkan semula kisah kemalangan tersebut. Masih terasa di hati kita semua. Terngiang-ngiang serta terbayang tangisan dan wajah si kecil dengan kehilangan keluarga tersayang dalam sekelip mata. Andai kita di tempat anak kecil itu, pasti kita juga tidak mampu untuk melupakan peristiwa sedih itu.

Tapi apa yang saya hendak kongsikan di sini adalah tentang penggunaan kerusi keselamatan bayi di dalam kereta. Amat penting untuk kita meletakkan bayi di kerusi khas mereka, kerana tindakan tersebut mampu menyelamatkan nyawa si comel kita. Elakkan untuk memangku bayi terutama di kerusi bahagian hadapan kerana risiko kecederaan teramat tinggi sekiranya berlaku kemalangan. Tiada siapa yang mahukannya terjadi tetapi beringatlah sebelum kita terkena. Malang itu tidak berbau walaupun kadang-kadang kita cukup berhati-hati semasa di jalan raya.


Berkenaan dengan kerusi keselamatan bayi, di sini saya nak kongsi sedikit tentang 10 kesilapan biasa yang kita lakukan kadang-kadang tanpa kita sedari. Kadang-kadang kita sendiri pun tak pasti dan fikir itu mungkin hanya perkara remeh. Tetapi percayalah, sedikit pengetahuan yang kita ada mampu beri kita kesedaran tentang keselamatan anak kita. 

Kerusi keselamatan bayi bukanlah benda mainan atau tempat anak kecil kita bermain. Jadi harus kita fahami tentang kesilapan-kesilapan ini untuk mengelakkan perkara tidak kita ingini berlaku di masa hadapan.

Kerusi keselamatan adalah amat penting untuk melindungi anak anda semasa dalam perjalanan. Jadi pengetahuan tentang bagaimana nak mengguna dengan betul pada anak anda adalah juga penting bagi setiap ibu bapa. Mari kita lihat beberapa kesilapan yang mungkin kita pandang remeh dan sama-sama kita pelajari cara untuk mengelakkannya.

1) Kesilapan pertama : Membeli atau mendapatkan kerusi keselamatan terpakai tanpa menyelidik terlebih dahulu. 

Sekiranya anda mempertimbangkan untuk membeli kerusi keselamatan terpakai untuk anak anda pastikan beberapa perkara berikut :

- ia didatangkan dengan arahan dan label yang menunjukkan tarikh pembuatan dan nombor model

- bukan barang yang dipulangkan semula

- tidak luput atau berusia lebih dari 6 tahun

- tiada kerosakan atau kehilangan bahagian-bahagian tertentu

- tidak pernah jatuh

Sekiranya anda tidak pasti tentang sejarah kerusi tersebut, sebaiknya anda perlu elakkan untuk membelinya. 


2) Kesilapan kedua : Meletakkan kerusi bayi di tempat yang salah 

Kedudukan yang paling selamat untuk meletakkan kerusi keselamatan bayi adalah di tempat duduk bahagian belakang iaitu tempat yang jauh dari beg udara yang aktif. Sekiranya ia diletakkan di bahagian hadapan, apabila beg udara mengembung, ia mungkin akan menghentam bahagian belakang kerusi keselamatan yang diletakkan menghadap ke belakang iaitu tempat di mana kedudukan kepala bayi. Ini boleh menyebabkan kecederaan teruk sehingga menyebabkan kematian. Sekiranya kedudukan kerusi bayi yang menghadap ke hadapan, ia juga akan berisiko dihentam beg udara.


Sekiranya kenderaan yang dinaiki hanya memiliki kerusi hadapan sahaja, pastikan anda nyahaktifkan beg udara atau pasangkan suis kuasa untuk menghalang penggunaan beg udara sekiranya berlaku kemalangan.

Jika anda meletakkan kerusi keselamatan bayi di belakang, letakkannya betul-betul di bahagian tengah daripada di bahagian tepi. Ini mampu meminimumkan risiko kecederaaan jika berlaku perkara tidak diingini. 


3) Kesilapan ketiga : Menggunakan kerusi keselamatan sebagai katil bayi 

Kerusi keselamatan di dalam kereta adalah direka untuk melindungi bayi semasa dalam perjalanan. Ia bukan untuk digunakan sebagai katil bayi di rumah anda. Kajian yang pernah dijalankan pada tahun 2009 menunjukkan bahawa duduk dengan keadaan menegak di dalam kerusi keselamatan bayi boleh memberi tekanan pada bahagian dada bayi yang baru lahir dan ini akan menyebabkan paras oksigen menjadi rendah. Keadaan kekurangan oksigen walaupun hanya sedikit akan menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan bayi.

Walaupun penting untuk meletakkan bayi anda dalam kerusi keselamatan bayi semasa dalam perjalanan, tetapi tempoh yang agak lama juga boleh menimbulkan masalah pada perkembangan bayi. Jadi jangan biarkan bayi anda berada di dalamnya terlalu. Anda mungkin boleh memangkunya sebentar semasa berehat dari perjalanan. 


4) Kesilapan keempat : Cara pemasangan kerusi keselamatan yang salah 

Sebelum anda membuat pemasangan, pastikan anda membaca arahan pengeluar terlebih dahulu tentang bahagian-bahagian pada kerusi keselamatan tersebut dalam buku manual pengguna. Pastikan ia dipasangkan dengan teguh dan selamat iaitu dengan memastikan pergerakan antara kiri dan kanan serta depan ke belakang tidak melebihi jarak 1 inci. 


5) Kesilapan kelima : Menyandarkan bayi pada kedudukan dan sudut yang salah 

Dalam posisi yang menghadap ke belakang, sandarkan kerusi keselamatan mengikut arahan pengeluar supaya kepala bayi anda tidak akan meluncur ke depan. Kebanyakan kerusi keselamatan akan menyertakan ukuran atau penanda sudut dan pelaras. Anda boleh meletakkan gulungan tuala yang ketat untuk diletakkan di bawah sudut depan kerusi untuk mendapatkan kedudukan yang terbaik.

Letakkan gulungan tuala atau selimut bayi di sekeliling bayi anda untuk mengelakkan posisi tubuhnya tidak tergantung dan melengkung. Jangan gunakan produk atau aksesori tambahan lain pada kerusi keselamatan bayi kecuali ia sememangnya didatangkan bersama set tersebut dari pengilangnya. 


6) Kesilapan keenam : Terlalu cepat menukarkan posisi kerusi keselamatan 

Pemasangan kerusi keselamatan dengan posisi menghadap ke belakang adalah disarankan sehingga anak anda mencapai usia 2 tahun atau apabila beratnya mencapai lebih kurang 16kg atau juga mengikut ketinggian yang telah ditetapkan oleh pengeluar.

Apabila anak anda sudah mencapai syarat seperti yang saya nyatakan tadi, beberapa perkara perlu anda pastikan semasa menukarkan posisi kerusi keselamatan. Antaranya ialah :

- pasang kerusi keselamatan di bahagian belakang dengan merujuk kepada arahan pengeluarnya samada menggunakan tali pinggang keselamatan atau sistem LATCH (Lower Anchors and Tethers for Children)

- gunakan tali penambat iaitu tali yang disangkut ke bahagian atas kerusi keselamatan

- selaraskan tali keselamatan supaya ia berada pada kedudukan atau di atas bahagian bahu anak anda. Pastikan ia selesa pada anak anda.

Umur yang sesuai bagi anak anda untuk menggunakan tali pinggang keselamatan dewasa adalah di antara 8 dan 12 tahun. Berikut adalah tips untuk mengetahui samada anak anda sudah bersedia dan perlu dipakaikan tali pinggang keselamatan dewasa : 

- anak anda telah mencapai ketinggian lebih kurang 1.5 meter 

- anak anda kekal duduk diam dan selesa di tempat duduk bahagian belakang dengan keadaan kaki diletakkan dalam keadaan selesa di bawah

- kedudukan tali pinggang keselamatan (bahagian rata) merentasi bahagian atas paha anak anda dan tali pinggang pada bahu terletak di antara bahu dan dada. Bukan berada pada kedudukan leher atau muka.

Pastikan anak anda tidak menyelitkan tali pinggang keselamatan (bahagian atas) pada kedudukan di bawah lengan atau di belakang badannya. Anda perlu ingat, tempat duduk belakang adalah tempat yang paling selamat untuk anak anda yang berusia 13 tahun ke bawah. Jadi, latih anak anda untuk duduk dengan selamat semasa berada di dalam kenderaan. Tindakan kita hari ini mampu menyelamatkan nyawa orang yang kita sayang.

Entri asal : www.blognana.com (2015)

No comments:

Post a Comment